Friday 22 March 2013

Bila aku sudah tiada....

Assalamualaikum,

Baru-baru ini (lebih kurang seminggu yang lepas) ada seorang kawan kepada ramai kawan-kawanku telah dijemput Ilahi untuk pulang ke Rahmatullah. Secara ikhlasnya, aku tidak pernah pun mengenali Allahyarham, apatah lagi untuk bersua muka. Namun apa yang membuatkan aku kagum pada arwah adalah testimoni yang diberikan kepada beliau adalah amat baik. Semua rakan-rakanku yang mengenali beliau menceritakan kebaikan beliau di laman-laman sosial (facebook, twitter, blog, dll.). Daripada tafsiran aku, beliau merupakan seorang anak muda yang giat menjalankan dakwah secara usrah. Nama beliau agak besar bagi para pelajar terutamanya bagi pelajar-pelajar yang sedang menuntut di bumi Eropah. Ketika beliau menghembuskan nafas yang terakhir, beliau telah pun tamat pengajian peringkat ijazah beliau dan telah pun berkhidmat sebagai pendidik kepada anak bangsa. (Jika tafsiranku salah, sila betulkan buat sesiapa yang mengenali beliau).

Perkara ini membuatkan aku terfikir. Apabila tibanya waktu untuk aku pergi meninggalkan dunia ini nanti, adakah aku akan mendapat testimoni yang sama? Adakah kepergianku akan ditangisi atau pun ianya hanya akan berlalu pergi ibarat angin yang bertiup? Apakah perkara yang akan dikenang tentang diriku? Apakah perkara yang baik atau yang buruk yang akan kedengaran? Wallahu'alam.

*Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Nur Iman Shafiq Bin Abdul Rahman yang telah pulang ke Rahmatullah pada 16 Mac yang lalu. Pergi pada usia 24 tahun, dua tahun lebih muda daripada usia semasa ku. Walaupun aku tak pernah bertemu denganmu, namun aku pasti engkau lebih banyak berbuat sesuatu pada agama kita berbanding aku. Untuk itu, aku cemburu denganmu. Semoga engkau bahagia di sana.