Sunday 8 June 2008

Realiti Kehidupan

Saya tertarik dengan kenyataan akhbar oleh saudara Ezam Mohd. Nor yang antara lain menyebut bahawa 'Dalam politik, kita MENGGUNAKAN ATAU DIGUNAKAN'. Ada benarnya kata-kata beliau itu. Dan saya merasakan bahawa kebenaran kata-kata itu tidak terbatas kepada dunia politik semata-mata malahan ianya benar dalam konteks dunia ini secara meluas. Sedar ataupun tidak, saban hari kita digunakan dan selama itu jugalah kita menggunakan. Rakan yang ikhlas? Memang ada tetapi jumlahnya semakin mengurang dan amat sukar untuk dicari. Cuba kita tanya diri sendiri. Selalunya bila kita akan bertanyakan khabar seorang rakan yang telah lama tidak dihubungi? Tentulah ketika kita memerlukan bantuan mereka. Jika jawapan anda berbeza, Alhamdulillah. Tetapi saya yakin ramai yang bersetuju dengan jawapan saya. Itu pun jika rakan yang kita cari semula itu masih mempunyai kuasa dan upaya untuk membantu kita. Jika mereka sudah tiada kuasa dan upaya, bayangkan apa yang akan terjadi kepada mereka. Perkara ini membawa kepada satu lagi fenomena yang ingin saya namakan 'MELUPAKAN DAN DILUPAKAN'. Saban hari, kita melupakan dan dilupakan. Banyak contoh yang telah berlaku. Ketika kita di ambang kuasa, kita akan dihormati dan disanjung tinggi. Apabila semua itu sudah tiada dalam genggaman kita lagi, tiada lagi penghormatan seperti yang diterima dahulu. Inilah roda kehidupan. Kitaran hidup. Suatu hari nanti kita pun bakal menghadapinya melainkan kita meninggal dunia ketika berkuasa. Bersedialah. Inilah norma kehidupan yang menjadikan kerusi dan emas sebagai matlamat!