Saturday, 13 December 2008

Tanah runtuh


Minggu lepas, satu tragedi tanah runtuh telah berlaku di Bukit Antarabangsa. Saya pernah menetap di Taman Keramat satu masa dahulu dan Bukit Antarabangsa terletak tidak jauh daripada Taman Keramat. Bukit Antarabangsa memang terkenal sebagai kawasan elit yang terletak di pinggir ibu negara. Bukan calang-calang orang yang menetap di sana. Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk merupakan gelaran biasa bagi penduduk Bukit Antarabangsa. Sampaikan ada yang mengatakan bahawa jika Bukit Antarabangsa dibom, maka banyaklah jawatan-jawatan penting dalam negara ini yang akan kosong. Apabila berlaku tragedi tanah runtuh ini, maka ramailah yang mempersoalkan kelulusan yang diberi PBT terhadap projek-projek di lereng bukit. Malah pemerintah-pemerintah tertinggi negara juga serta-merta mengeluarkan larangan terhadap projek yang dijalankan di lereng bukit. Perkara ini menjadi satu topik perbahasan di Parlimen. Malah ada rombongan daripada PAC (Public Audit Committee) datang ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan runtuhan. Yang peliknya, yang terkorban hanyalah 4 orang. Namun begitu, perkara ini dilihat begitu serius seperti satu bencana negara. Saya bukanlah tidak bersimpati kepada mereka yang terlibat. Tetapi saya ingin mempersoalkan keadilan dalam kes ini. Kalaulah yang tertimbus itu kawasan setinggan, adakah semua pihak akan memberikan perhatian yang sama? Mentang-mentanglah rumah Ketua Setiausaha Sulit PM terlibat, maka semuanya turun. Tapi kalau yang tertimbus itu rumah marhain-marhain yang berbumbungkan zinc, pasti tak ramai yang ambil peduli. Tiadalah restoran-restoran yang akan akan menghantar makanan percuma. Tiadalah jambatan-jambatan sementara yang akan dibina. Tiadalah anggota polis yang akan berkawal 24 jam untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mencuri. Inilah dunia. Yang senang bertambah senang. Yang susah tiada siapa yang peduli.

No comments: