Ini bukanlah satu ulasan perlawanan bola sepak. Tetapi pendapat peribadi sebagai anak Malaysia yang menetap di Czech Republic. Diam tak diam, sudah pun mencecah setahun setengah saya berada di Czech Republic. Banyak budaya luar yang saya pelajari di sini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana tanpa izin dan perkenanNya, tak mungkin saya mampu unntuk berada di sini.
Jika berbicara mengenai perbezaan antara kedua negara ini memang banyak. Yang paling jelas adalah iklimnya. Czech Republic merupakan sebuah negara 4 musim manakala Malaysia pula beriklim panas dan lembap sepanjang tahun (kadang-kala orang cakap musim panas dan musim hujan). Ironinya, saya kurang diserang selsema semasa di Czech Republic berbanding di Malaysia walaupun ketika musim sejuk. Mungkin kerana keadaan cuaca di sini yang kering.
Berkenaan dengan budaya pula, sudah tentulah banyak bezanya antara kedua negara ini. Czech Republic merupakan sebuah negara yang berkiblatkan Amerika. Tidak hairanlah kerajaannya membenarkan pihak Amerika meletakkan satelit anti peluru berpandu mereka di negara ini. Selain itu, perkara ini juga dapat dilihat melalui cara berpakaian anak-anak muda di sini. Jelas dipengaruhi budaya Amerika. Yang ironinya, budaya ini tidak pula disertai dengan bahasa mereka. Mereka tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai kiblat dalam mereka berbahasa. Penguasaan bahasa bahasa Inggeris mereka tersangatlah lemah. Sampaikan Foreign Police mereka pun tidak tahu berbahasa Inggeris. Bayangkanlah betapa teruknya mereka. Tidak keterlaluan jika saya katakan rakyat Malaysia berpuluh-puluh kali lebih baik penguasaan bahasa Inggerisnya berbanding rakyat Czech.
Sepanjang pengamatan saya, rakyat Czech tidak langsung ada prejudis terhadap masyarakat luar. Kalau ada pun hanyalah sedikit sahaja daripada mereka dan boleh dianggap sebagai 'isolated case'. Berbeza dengan apa yang di'momok-momokkan' oleh orang-orang di Malaysia, mereka sangatlah baik dan peramah (kadang-kadang aku tak faham pun ape yang diorang cakap). Mungkin perkara ini berbeza di negara-negara lain di Eropah ini tetapi sekurang-kurangnya tidak di Czech Republic.
Satu lagi kekaguman saya terhadap masyarakat Czech adalah perkhidmatan pengangkutan mereka. Sangatlah efisyen. Berpuluh-puluh kali lebih baik daripada di Malaysia. Waktu bagi bas dan keretapi boleh disemak melalui internet dan waktu ketibaannya bolehlah dianggap tepat. Berbeza dengan Malaysia yang kadang-kala menyebabkan janggut saya bertumbuh sepanjang satu inci.
Banyak lagi yang ingin saya kongsikan di sini. Namun dek kerana waktu Isya' yang dah kunjung tiba, saya ingin menamatkannya di sini dahulu buat masa ini. InsyaAllah banyak lagi perkara lain yang akan saya kupaskan di masa akan datang. Salam....
-Stefanikova 318/04, 7.03pm (sambil menunggu masuk Isya')
No comments:
Post a Comment